Wednesday, July 29, 2009
Berlumba buat kebaikan
Berlumba buat kebaikan
Written by Administrator
Thursday, 29 January 2009 19:19 -
Link
BANYAK ayat al-Quran yang menyeru manusia melakukan kebaikan dan berlumba-lumba ke
arahnya, kerana dengannya akan membawa kejayaan, kemenangan dan kebahagiaan.
"Wahai orang yang beriman, rukuk serta sujudlah (mengerjakan solat) dan beribadatlah
kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan;
supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat." (al-Haj:77)
Bukan saja manusia umum, malah nabi dan rasul yang diutuskan juga diperintahkan supaya melakukan kebaikan, seperti yang dapat dilihat pada ayat 73, surah al-Anbiya, antara lain bermaksud: "Dan kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan..."
Mereka yang segera melakukan kebaikan dan sentiasa mengutamakannya mendapat pujian,
bukan hanya sesama manusia, bahkan dari Allah, yang turut menjanjikan ganjaran tidak
terhingga.Kebaikan yang digesa oleh Allah merangkumi segala amalan yang baik. Mentaati Allah adalah kebaikan, beriman kepada Allah adalah kebaikan, mengamalkan sifat kemuliaan adalah kebaikan serta keikhlasan niat dan amalan adalah kebaikan.
Melakukan kebajikan sesama manusia adalah kebaikan, bicara baik yang keluar dari mulut juga kebaikan dan usaha untuk meningkatkan taraf hidup dan masyarakat adalah kebaikan.
Tabiat semulajadi manusia yang bersih menuju kepada kebaikan. Semua manusia suka kepada kebaikan dan tertarik kepadanya, termasuk mereka yang kerap melakukan kesalahan, terpendam kebaikan di dalam nalurinya. Kebaikan mempunyai takrifan yang luas dan ukuran tersendiri berdasarkan subjek. Selalunya ia mengikut pertimbangan akal, dengan pengaruh adat dan budaya masyarakat. Disebabkan itu juga kadangkala sesuatu yang baik bagi sebuah masyarakat, dianggap sebaliknya bagi masyarakat lain.
Acap kali dalam menilai kebaikan, manusia dilanda kebuntuan, sehingga tidak mampu
dirungkai kecerdikan akalnya, membuatkan sistem hidup mereka kucar-kacir dan tiada
keseimbangan. Justeru itu, al-Quran dan sunnah menjadi rujukan dan petunjuk dalam menilai kebaikan yang luas itu, malah memperincikan lagi bagi memberikan kefahaman kepada manusia. Kebaikan akan menjadi hambar jika tiada pedoman, galakan dan ganjaran.
Justeru itu, kebanyakan mereka yang menganuti ideologi bertentangan dengan Islam merasakan tidak kisah dengan kebaikan. Al-Quran menegaskan mereka yang berbuat kebaikan walaupun seberat zarah akan dilihatnya, sebagaimana dijelaskan melalui surah al-Zalzalah.
Dalam kitab al-Muwatta' diriwayatkan satu hadis bermaksud: "Seorang miskin telah meminta makanan dari Aishah r.a dan di hadapannya ada beberapa biji anggur, lalu Aishah berkata kepada seseorang: Ambil sebutir dan berikan kepadanya! Orang yang disuruh itu hanya memerhatikan sebutir anggur terbabit kerana kehairanan. Maka Aisyah pun berkata: Apakah engkau hairan! Berapa bezanya antara sebiji ini
dengan sebesar zarah.
Setiap amalan baik yang dihulurkan kepada manusia, bahkan kepada haiwan makhluk lain yang hidup di muka bumi ini, sekalipun kecil adalah diredai Allah.
Melemparkan wajah yang manis, senyum bila bertemu, membuang sesuatu yang berbahaya di
jalanan dan memulakan langkah ke masjid adalah kebaikan.
"Bahagialah (kerana kebaikan yang amat banyak) bagi orang yang baik kerjanya, baik
dan bersih hatinya, mulia pula lahirnya dan jauh manusia dari kejahatannya. Bahagialah orang yang beramal dengan ilmunya, membelanjakan (untuk kebajikan) lebihan dari hartanya dan menahan lebihan dari kata-katanya." (Hadis riwayat Tabrani)
Kebaikan tidak semudah dikata, malah bagi sesetengah orang sukar untuk melaksanakannya.Oleh itu, usaha ke arah kebaikan perlu kepada latihan dan kebiasaan sehingga ia sebati dan mesra dengan hati .Melatih dan membiasakan amalan baik sejak kecil, seperti dilakukan guru terhadap kanak-kanak di pusat asuhan dan sekolah kini adalah asas terpuji dan baik untuk pembentukan akhlak yang mulia. Islam menyuruh kita supaya mendidik anak dengan keperibadian Muslim yang mulia, membiasakannya dari kecil supaya mengamalkannya apabila meningkat remaja. Kebaikan adalah medan akhlak Islam dan seperti dikatakan daerahnya cukup luas, tetapi melalui wahyu ia dijelaskan secara terperinci. Oleh kerana keluasan dan perinciannya, ia tidak perlu kepada suatu pengertian khusus, kerana pengertian seperti itu akan mengundang kedangkalan dalam menilai kebaikan. Semua orang mampu melakarkan potret kebaikan, tetapi tidak semestinya ia mencerminkan kebaikan sebenar, yang unggul dan bersifat universal, sekiranya tidak mendasarkannya dengan manhaj Ilahi. Waktu cepat berlalu kerana matahari dan bulan tidak bersifat menunggu. Justeru, usaha
dan tindakan kebaikan sewajarnya tidak ditunggu, malah patut berlumba-lumba untuk
melakukannya. Jika lalai dari mengisi hidup dengan amalan baik lagi terpuji, seseorang mendedahkan dirinya kepada kerugian dalam usia dan masa hidupnya yang tidak akan dapat ditebus kembali.
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang
beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta
berpesan-pesan dengan sabar." (al-Asr:1-3)
Mungkin banyak rintangan yang menghalangi manusia daripada melakukan kebaikan dan tetap dengan kebaikan. Bahkan, banyak godaan dan fitnah yang menyekat kebaikan, sehingga manusia tertipu dan tertewas. Justeru, menjadi kewajipan bagi seseorang mengatasi halangan terbabit sebaik saja tersedar, mempunyai waktu terluang dan suasana yang mengizinkan.
Rasulullah menegaskan: "Bersegera kepada amal soleh kerana akan berlaku fitnah seperti di waktu malam yang gelap gelita, yang mana seorang itu beriman pada waktu pagi dan akan kafir pada waktu petang, beriman pada waktu petang dan akan kafir pada waktu paginya, menjualkan agamanya dengan kebendaan dunia yang tidak berharga."
(Hadis riwayat at-Turmudzi)
Tuesday, July 21, 2009
Israk Mikraj daulatkan ketuanan Rasulullah s.a.w
Israk Mikraj daulatkan ketuanan Rasulullah s.a.w
DIkirim oleh epondok di Julai 20, 2009
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
SECARA umumnya faedah dan maksud terpenting yang dapat dipetik melalui peristiwa Israk dan Mikraj itu adalah menzahirkan kekuasaan Allah yang meliputi tiap-tiap sesuatu tanpa sebarang batasan.
Di sudut yang lain pula, menzahirkan ketuanan, kemuliaan dan keutamaan kekasih-Nya, Sayyiduna Muhammad SAW berbanding makhluk lain.
Telah thabit melalui riwayat yang sahih bahawa Rasulullah telah diperjalankan ke Masjid al-Aqsa dan di sanalah Baginda menjadi imam kepada sekelian rasul bagi membuktikan keutamaan dan kemuliaannya sebagai penghulu bagi sekelian nabi Allah SWT.
Apabila kita telah mengetahui dan mengakui hakikat tersebut, maka secara tidak langsung kita telah mengikrarkan di dalam diri bahawa kemuliaan Rasulullah itu adalah sentiasa mendahului para rasul yang lain.
Sebarang penghormatan yang dikurniakan ke atas mereka juga adalah terlebih layak dan utama dianugerahkan ke atas Baginda. Maka sesuailah Baginda digelar dengan gelaran penghormatan yang selayaknya dengan kedudukannya sebagai kekasih Allah yang paling agung dalam sejarah umat dan bangsa semenjak kejadian Nabi Adam lagi.
Para ulama yang telah dikurniakan basiroh (pandangan mata hati) oleh Allah telah menyatakan beberapa pendapat yang indah dan menakjubkan berdasarkan peristiwa Baginda diperjalankan ke langit.
Di sisi mereka, perjalanan Baginda ke langit melepasi tingkatan-tingkatan yang ada pada setiap tingkat tersebut para rasul yang mulia bukanlah sekadar melintasi suatu lapisan langit ke satu lapisan yang lain.
Bahkan, ia adalah suatu simbolik ruhiyyah bahawa kemuliaan Baginda itu naik setingkat demi setingkat melebihi kemuliaan para rasul dan nabi yang lain. Demikian juga Baginda naik sehingga ke suatu peringkat yang tidak boleh dinaiki oleh Jibril. Ia bertepatan dengan iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa Rasulullah adalah lebih mulia daripada Jibril.
Kewajaran Gelaran Sayyiduna
Di antara cara memelihara adab dengan Baginda ialah dengan menggandingkan namanya dengan sebutan yang mulia seperti Kekasih Allah, Nabi Termulia atau Penghulu yang agung atau menggandingkan nama Nabi dengan lafaz siyadah (ketuanan) seperti Sayyidi atau Sayyiduna yang bermaksud ‘Penghuluku’ atau ‘Penghulu Kami’.
Lafaz penghormatan seumpama ini bukanlah merupakan suatu pelampauan dan berlebih-lebihan dalam memberi penghormatan. Bahkan ia merupakan suatu perkara yang baik yang telah dipetik oleh ulama-ulama tentang keharusannya melalui firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah memberikan khabar gembira kepadamu dengan kelahiran seorang bayi bernama Yahya sebagai membenarkan kalimah Allah, menjadi Sayyid (penghulu), lelaki yang menahan diri dari menurut runtunan nafsu dan sebagai seorang Nabi dari kalangan Nabi-nabi yang soleh. (al-Maidah: 39 )
Berdasarkan ayat di atas, dapat difahami bahawa Allah telah menggelarkan Nabi Yahya sebagai Sayyid. Maka adalah terlebih utama bagi kita menggunakan lafaz ‘Sayyiduna’ atau ‘Tuan’ atas Penghulu Sekelian Rasul iaitu Sayyiduna Rasulullah SAW.
Dalam menguatkan lagi pendapat ini, Sheikh al-Islam al-Imam al-Akbar Dr. Abdul Halim Mahmud yang merupakan seorang Sheikh al-Azhar yang terunggul di kurun ini menyatakan di dalam fatwanya yang bermaksud: “Adalah Rasulullah merupakan seorang yang tawaduk dan tidak memandang sesuatu melainkan sebagai suatu tanda pengabdian kepada Allah.
“Tatkala Baginda ditanya bagaimana caranya hendak mengucapkan selawat ke atasnya, maka Baginda tidak menyebut lafaz siyadah di dalam selawat tersebut.
“Akan tetapi Baginda tatkala menceritakan tentang nikmat Allah SWT ke atasnya, maka Baginda bersabda seperti mana yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud daripada Abu Hurairah r.a yang bermaksud: Aku adalah Sayyid (Penghulu Anak-anak Adam) pada hari kiamat dan aku tidaklah berbangga, di tanganku terdapat Liwa’ al Hamdi (panji kepujian) dan aku tidaklah hendak berbangga-bangga dengannya. (Fatawa al Imam Abdul Halim Mahmud. Jilid 1, Halaman 270-271)
Di dalam perenggan yang lain pula beliau menyatakan tegahan terhadap orang yang melarang dan melampau-lampau dalam meninggalkan lafaz siyadah dengan katanya: “Maka yang tinggal lagi yang hendak saya nyatakan di sini bahawa sesetengah manusia terlalu melampau dalam meninggalkan lafaz siyadah terhadap Nabi SAW lalu mengharamkan sebutannya.
“Tatkala dia tidak menemui dalil syarak sebagai sandarannya untuk menghukumnya sebagai haram, maka dia pun mencipta hadis-hadis palsu yang secocok dengan hawa nafsunya iaitu mendakwa Rasulullah bersabda: “Janganlah kalian mengucapkan sayyiduna ke atasku di dalam solat”.
Sesungguhnya perkataan ini bukanlah hadis dan seperti yang dinyatakan oleh al-Sakhawi dan selainnya dari kalangan ulama-ulama hadis: Hadis ini tidak ditemui asalnya dalam mana-mana kitab hadis.” (Fatawa, Jilid 1, Halaman 271)
Demikian juga telah diriwayatkan banyak hadis yang mana Baginda menggelar para sahabat dengan lafaz sayyid. Semua ini secara tidak langsung menggugurkan tuduhan sesetengah pihak bahawa tidak boleh mengucapkan lafaz Sayyiduna pada nama Rasulullah kerana ia terlalu mendewa-dewakannya dan gelaran sayyid hanya untuk Allah.
Di sini dipaparkan beberapa kalam Rasulullah yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai suatu perlampauan dalam memberikan penghormatan:
Pertama: Sesungguhnya telah diriwayatkan bahawa tatkala penghulu bagi kaum Ansar yang bernama Saad ibnu Muaz masuk ke dalam majlis, Rasulullah memerintahkan para sahabat berdiri dengan sabda yang bermaksud: Bangunlah kalian bagi memuliakan Sayyid (penghulu) kalian. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, al Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad)
Kedua: Diriwayatkan oleh al-Bukhari bahawa Sayyiduna Umar ra berkata: Abu Bakar adalah Sayyiduna (penghulu kami) dan beliau telah memerdekakan Sayyiduna (Bilal r.a).
Ketiga: Rasulullah SAW bersabda mengenai cucunya al Hasan, maksudnya: Sesungguhnya cucuku ini adalah Sayyid. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, al Tirmizi, Abu Daud, al Nasa’i dan Ahmad)
Menunaikan Perintah dan Memelihara Adab
Di antara perkara yang sering dibangkitkan dan menyemarakkan lagi fitnah dalam masyarakat Islam kini adalah pendapat bahawa haram hukumnya mengucapkan lafaz Sayyiduna dalam bacaan tasyahhud ketika solat.
Ada juga pendapat yang lebih melampau daripada itu menyatakan haram dan batal solat seseorang yang mengucapkannya.
Pendapat ini pada hakikatnya dipetik dan dikeluarkan oleh hati-hati yang dikuasai nafsu. Jika dikaji dan diteliti, hanya terdapat dua sebab lemah yang menjadi dalil sandaran mereka dalam memarakkan lagi fitnah dalam kehidupan masyarakat umat Islam:
Pertama: Hadis larangan mengucapkan selawat ke atas nabi di dalam solat.
Kedua: Lafaz selawat yang diajarkan oleh Nabi SAW tiada sebutan Sayyiduna dan Nabi tidak melafazkannya di dalam solat dan tidak dilakukan pula oleh para salaf.
Dalil pertama di atas telah pun kita sebutkan mengenai martabatnya sebagai hadis dusta yang tidak diriwayatkan oleh mana-mana imam dan kitab hadis yang muktabar. Dalil yang kedua pula mengajak kita sama-sama merenung tentang bagaimana para sahabat mempraktikkan persembahan adab terhadap Rasulullah SAW dan mendahulukannya daripada menunaikan perintah.
Ketika Rasulullah gering yang membawa kepada kewafatan, Baginda SAW memerintahkan Abu Bakar r.a menjadi imam solat. Jika diteliti ini adalah suatu perintah. Akan tetapi Abu Bakar tidak berganjak ke depan untuk menjadi imam bagi menunaikan perintah tersebut. Apabila Nabi keluar dari rumahnya, maka Baginda bertanya kepadanya, lalu Abu Bakar menjawab: “Tidaklah harus bagi anak kepada Abu Quhafah (Abu Bakar) mendahului Rasulullah SAW dalam hal ini”.
Maka Rasulullah mengakui (taqrir) mengenai perbuatan Abu Bakar tersebut dalam mengutamakan persembahan adabnya.
Telahpun kita ketahui sebelum ini bahawa hadis yang menerangkan kaifiat membaca selawat telah dilafazkan oleh Baginda SAW tanpa lafaz Sayyiduna dan di masa yang sama tidak terdapat dalil menunjukkan Baginda melarang atau mengharamkannya. Maka dari perkara seumpama inilah ulama fiqh menerbitkan kaedah: Al-Tarku La Yuntiju Hukman. Maksudnya, sesuatu yang ditinggalkan tidak dilakukan oleh Nabi SAW tidak membawa hukum haram selagi tiada dalil menunjukkan tentang pengharamannya. Bahkan telah didatangkan pula banyak hadis yang terdapat lafaz Sayyid disifatkan kepada Nabi SAW.
Maka tiada masalah dan terlebih utama sekiranya lafaz Siyadah diharuskan dalam ucapan selawat baik di dalam dan di luar solat sebagai suatu cara mempersembahkan adab dan memuliakan Nabi SAW.
Pendapat yang baik ini disokong dan didokong oleh ramai ulama di antaranya al-’Allamah al-Muhaqqiq al-Usuli Jalaluddin al-Mahalli dengan katanya: “Dan ucapan orang yang solat yang menambah lafaz Sayyiduna dalam tasyahhudnya adalah satu tanda menunaikan perintah memuliakan Nabi SAW berdasarkan dalil-dalil dan menambahkan lagi penerangan mengenai realiti kemuliaan Nabi (dengan melafazkan siyadah) adalah suatu adab, maka ucapan sayyiduna lebih utama diucapkan daripada ditinggalkan.”
Al Hafiz Ibnu Hajar al-Haitami menaqalkan, sesungguhnya pendapat yang menyatakan bahawa menambah lafaz Sayyiduna dalam tasyahhud membatalkan solat adalah pendapat yang jelas salah, maka hendaklah ia dijauhi.
Semoga kita semua sentiasa ditawfiqkan untuk mendaulatkan ketuanan Nabi kita Muhammad SAW serta memelihara adab-adab dan hak Baginda ke atas kita dengan sesempurna mungkin.
Thursday, July 16, 2009
Perlukah kenduri arwah?
Azamin Amin (DARI HARAKAH)
Thu | Jul 16, 09 | 11:38:28 am MYT
“Perlukah saya sediakan makanan dan buat kenduri arwah kepada orang kampung sedangkan keluarga saya tengah sedih sangat sebab baru sahaja kehilangan ayah tersayang?” tanya seorang remaja kepada saya yang baru kehilangan ayahnya yang tercinta akibat sakit kronik.
Terkedu dan pernah juga terfikir dalam benak hati, namun kerana kenaifan saya di bidang agama saya diamkan sahaja sehinggalah muncul kembali soalan yang terbit daripada anak muda belasan tahun ini yang datang daripada keluarga yang susah.
Lantaran itu, walaupun sedikit kesibukan dengan tugasan, saya meluangkan masa mencari jawapan yang mungkin atau mengundang pelbagai pandangan dan polemik serta emosi kurang senang banyak pihak.
Namun atas landasan mencari ilmu termasuk mahu berkongsi bersama, saya kutip beberapa pendapat yang boleh dijadikan panduan kepada semua khususnya kepada anak muda yang bertanya itu sehingga saya membiarkan dia termanggu tanpa sebarang jawapan sebelum ini.(segala kesilapan dan kelemahan mohon tunjuk dan maafkan)
Amalan membebankan keluarga si mati
Dalam laman blog dikenali sebagai Institut Al-Imam Syafie (Intis) seorang Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Abdullah Bukhari Abdul Rahim menulis amalan kenduri arwah ini sudah pasti menyusahkan keluarga si mati yang masih lagi bersedih dengan kehilangan orang tersayang.
Katanya Rasulullah s.a.w ketika mendengar berita kematian Jaafar ibn Abi Talib, baginda bersabda:
“Persiapkan makanan untuk keluarga Ja’far, kerana sesungguhnya mereka telah didatangi dengan apa yang menyibukkan mereka (kesusahan).” – Hadith riwayat al-Tirmidhi & Abu Dawud.
Keluarga si mati yang baru ditimpa musibah(al-Baqarah:155-157) perlu disokong dan dibantu.
Amalan di sesetengah tempat ini adalah salah, kerana katanya kesedihan keluarga si mati akan ditambah lagi dengan kesedihan lain seperti bebanan kewangan kerana perlu membayar upah orang membaca al-Quran, sembahyang jenazah dan kenduri arwah.
“Budaya mengadakan kenduri arwah bersempena kematian pada malam pertama, malam Jumaat, malam ketujuh, malam ke-40 dan malam ke-100 juga tidak mempunyai asas sama sekali dalam Islam,” katanya yang dipetik dari laman web tersebut
Amalan itu membawa kepada pembaziran jika membabitkan penggunaan harta si mati tanpa jalan yang betul dan membabitkan penganiayaan harta anak yatim malah Majlis Fatwa Mesir pada 1947 memutuskan bahawa amalan berkenaan perlu dihentikan.
Ulama mazhab Syafie melarang kenduri arwah
Rujukan katanya boleh dibuat terhadap Kenyataan bekas Mufti Mesir Syeikh Hasanain Makhluf di dalam akhbar al-Ahram bertarikh 27 Julai 1947 dan Fatwa ini kemudian disahkan oleh Majlis Fatwa Mesir dan dikeluarkan dengan rasminya pada 14 Ogos 1947, bilangan 377.
Katanya lagi Ulama mazhab Syafie melarang budaya ini sebagaimana dipetik daripada buku Feqah Mazhab Syafie, al-Fiqh al-Manhaji.
Antara petikan kitab tersebut yang berbunyi:”Daripada bidaah apa dibuat keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan upacara dinamakan berlalunya 40 hari dan seumpamanya.”
“Sekiranya perbelanjaan makanan itu daripada harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram.
“Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim itu. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya.” ( rujukanjil 1/ ms 263, Damsyik: Dar al-Qalam).
Dalam pada itu pada Jun 2005 blog tersebut turut memetik ruangan Tazkirah di bawah tajuk ‘Amalan Jahiliyyah Disangka Ajaran Agama’ oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merujuk kepada pengarang kitab at-Tazkirah iaitu Al-Qurtubi berhubung isu kenduri arwah.
“Dengan jelas mengatakan bahawa diantara amalan jahiliyyah ialah mengadakan suatu himpunan beramai-ramai diperkuburan, di masjid atau di rumah dengan berzikir dan juga lain-lain bacaan, serta mengadakan jamuan makan minum dengan tujuan untuk orang mati, disebut orang sebagai kenduri Arwah.
“Dengan jelas perbuatan itu tiada Nas yang menjadi rujukannya dan tiada petunjuk sunnah yang menjadi ikutan, ” kata Nik Aziz.
Kenyataan pahit dan mengejutkan
Kenyataan ini kata Nik Aziz mungkin agak keras dan pahit serta boleh jadi suatu penjelasan yang mengejutkan terutama terhadap mereka yang mengamalkan perkara tersebut secara ikut-ikutan dan membuta tuli tanpa mengkaji dari sudut ilmiyah.
“Tetapi inilah hakikat Islam yang mesti diakui oleh penganutnya yang sedia kembali kepada al-Quran dan Sunnah,” katanya
“Tidak dapat dinafikan bahawa amalan tersebut telah berakar umbi di dalam masyarakat melayu, sehingga sebahagian dari mereka menganggap bahawa amalan tersebut adalah merupakan amalan agama yang mesti dilakukan setiap kali berlaku kematian,” katanya lagi
Kata Nik Aziz lagi sungguhpun Nabi terlalu sayang terhadap umatnya terutama terhadap para sahabatnya yang sentiasa membantu Nabi di dalam suasana damai dan perang namun Nabi tidak pernah melakukan majlis zikir atau tahlil untuk sahabat-sahabatnya r.a yang mati.
“Orang yang paling sayang terhadap Nabi s.a.w. adalah para sahabatnya yang sentiasa berada di sisi Nabi siang dan malam, namun pernahkah terdapat para sahabat berhimpun dan berzikir dan bertahlil untuk Nabi s.a.w.?” katanya membangkitkan persoalan.
Soalnya lagi jika perkara itu tidak dilakukan oleh Nabi dan juga para sahabat maka dari manakah punca amalan itu diambil.
“Apa yang paling mendukacitakan, mereka menganggap amalan tersebut sebahagian dari amalan Islam, padahal Rasulullah sa.w. tidak pernah menunjukkan contoh seperti itu dalam sunnahnya,” katanya.
Bagi umat Islam marilah berlapang dada dalam menghadpi persoalan agama dengan menghayati petikan ayat daripada surah An-Nisaa’ 4:59 :
“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”
(Segala kritikan, teguran dan pandangan bolehlah dimajukan kepada // azaminamin@yahoo.com
----------------------------------------------------------------------------------
Credit to Mazliana - from Mazliana email)
Salam
Hukum Minuman Yang Dimasuki Semut
Soalan: Bangkai semut yang masuk dalam minuman, apa hukumnya meminum air tersebut?
Jawapan: Semut adalah binatang yang tidak mengalir darahnya. Bangkai semut adalah najis yang dimaafkan. Namun, masuk semut pada minuman itu, hukumnya ada 2 keadaan:
1) Semut masuk dalam keadaan sudah mati
Semut itu sudah menjadi bangkai tetapi jika masuk atas ikhtiar manusia, seperti memasukkan gula yang ada bangkai semut, maka air itu najis, tidak boleh diminum. Kalau masuk bukan ikhtiar manusia, contoh seperti ditiup angin selagi tidak mengubah sifat air, maka boleh diminum dengan syarat membuang dulu bangkai semut itu.
2) Semut masuk dalam keadaan hidup
Jika semut itu mati sendiri di dalam air, atas sebab ikhtiar manusia, maka air itu najis dan tidak boleh diminum. Ini boleh berlaku kerana air itu ditapis atau memasukkan gula yang ada semut, atau memasukkan air yang di dalam cawan mengandungi semut. Jika bukan dengan ikhtiar manusia, seperti ia masuk dengan sendirinya atau ditiup angin, maka tidak najis dan boleh diminum dengan syarat bangkai semut itu dibuang dahulu.
Monday, July 6, 2009
Doa Selamat Dari Penyakit
Assalamualaikum wbt,
Di ketika ini, seluruh negara digemparkan dengan berita SWINE FLU(H1N1).
Sesungguhnya ianya adalah satu bentuk peringatan dan ujian kpd seluruh umat manusia.
Kita di perantauan juga merasa resah dan gelisah memikirkan keadaan orang-orang tersayang di Malaysia. Tetapi insyallah, bersabarlah kita dan berusahalah agar
diri kita serta keluarga dan kawan-kawan diselamatkan dan dijauhkan dengan ujian ini.
Mohonlah kpd Allah swt agar dilindungi kita semua spt firmanya:
“Apakah kalian mengira bahwa kalian akan masuk ke dalam surga, padahal belum datang kepada kalian (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kalian? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam goncangan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang bersamanya : Bilakah datang pertolongan Allah? Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah amatlah dekat.” (QS. Al Baqarah : 214)
Sehubungan dengan itu saya sertakan satu doa yang dipetik dari laman blog Dato Haji Mohd Murtadza untuk menghindari penyakit swine flu. sebagai manusia, sudah pasti kita akan berusaha dari pelbagai bentuk utk terselamat dan dijauhi, tetapi jangan lupa selain usaha, doa merupakan senjata utama orang Islam. Oleh yg demikian, bolehlah sahabat melayari blog beliau atau rujuk di bawah doa yg diberikan oleh beliau. Semoga ahli keluarga Lancaster serta semua Muslimin dan Muslimat dan semua penduduk dunia di selamatkan dan dijauhkan dari virus ini. Insyallah.
Link blog
Link doa (large size)
Di ketika ini, seluruh negara digemparkan dengan berita SWINE FLU(H1N1).
Sesungguhnya ianya adalah satu bentuk peringatan dan ujian kpd seluruh umat manusia.
Kita di perantauan juga merasa resah dan gelisah memikirkan keadaan orang-orang tersayang di Malaysia. Tetapi insyallah, bersabarlah kita dan berusahalah agar
diri kita serta keluarga dan kawan-kawan diselamatkan dan dijauhkan dengan ujian ini.
Mohonlah kpd Allah swt agar dilindungi kita semua spt firmanya:
“Apakah kalian mengira bahwa kalian akan masuk ke dalam surga, padahal belum datang kepada kalian (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kalian? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam goncangan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang bersamanya : Bilakah datang pertolongan Allah? Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah amatlah dekat.” (QS. Al Baqarah : 214)
Sehubungan dengan itu saya sertakan satu doa yang dipetik dari laman blog Dato Haji Mohd Murtadza untuk menghindari penyakit swine flu. sebagai manusia, sudah pasti kita akan berusaha dari pelbagai bentuk utk terselamat dan dijauhi, tetapi jangan lupa selain usaha, doa merupakan senjata utama orang Islam. Oleh yg demikian, bolehlah sahabat melayari blog beliau atau rujuk di bawah doa yg diberikan oleh beliau. Semoga ahli keluarga Lancaster serta semua Muslimin dan Muslimat dan semua penduduk dunia di selamatkan dan dijauhkan dari virus ini. Insyallah.
Link blog
Link doa (large size)
Subscribe to:
Posts (Atom)