Khadijah contoh ibu mithali Muslim
Oleh Mohd Zamri Shafie (http://intim.wordpress.com/2007/05/12/khadijah-contoh-ibu-mithali-muslim/)
Isteri setia sanggup berkorban bagi mendukung perjuangan Rasulullah
SIFAT isteri salihah dan keibuan Ummul Mukminin Saidatina Khadijah Khuwailid adalah contoh terbaik ibu mithali yang mempunyai sifat seperti cantik, kaya, cergas, cerdas, dermawan dan berketurunan mulia.
Selain itu, beliau adalah seorang ‘al-wadud al-walud’ iaitu wanita penyayang dan subur. Hasil perkongsian hidup beliau dengan Rasulullah SAW, dikurniakan empat puteri dan tiga putera.
Sifat isteri salihah dan keibuan boleh dicontohi dan dijadikan iktibar daripada perjalanan hidup Saidatina Khadijah antaranya:
# Tenang dan menenangkan jiwa Rasulullah SAW di kala sedih dan gelisah. Diriwayatkan kehebatan Saidatina Khadijah ialah beliau seorang yang tenang dan berjaya menenangkan Rasulullah SAW selepas menerima wahyu pertama di Gua Hira’.
Baginda Nabi SAW yang berada dalam keadaan ketakutan dan gementar ditenangkan Saidatina Khadijah dengan katanya: “Demi Allah, Allah tidak akan menyusahkan dirimu selama-lamanya. Bergembira dan teguhkanlah hatimu. Sesungguhnya engkau seorang yang suka menyambung tali persaudaraan, suka menanggung beban orang (yang kurang bernasib baik), menghormati tetamu, memberikan sesuatu kepada orang yang tidak mampu, bercakap benar dan memberikan bantuan kepada mereka yang ditimpa bencana”.
Kata-kata lemah lembut dan manis inilah yang membuatkan hati Baginda tenang. Perasaan takut yang terbaca di raut wajah Rasulullah SAW hilang berganti cerah dan terang.
Selepas peristiwa di Gua Hira’ yang menandakan Nabi Muhammad SAW dilantik menjadi Rasul Allah, maka dengan tidak ada sebarang keraguan di hati Saidatina Khadijah untuk menerima Islam.
Ummul Mukminin ini penyokong kuat Rasulullah SAW dalam menggerakkan usaha dakwah. Beliau pembela paling setia dan sanggup mengorbankan seluruh jiwa raga, harta dan perasaannya demi kejayaan perjuangan Rasulullah SAW.
Wanita yang diberi gelaran Ummul Mukminin (Ibu bagi mukmin) adalah seorang yang hebat untuk dijadikan Ibu Mithali bagi setiap individu Muslim.
# Mendukung perjuangan suaminya Rasulullah SAW dengan semangat dan jiwa seorang pejuang, berpaksikan kepada kekuatan iman. Walaupun secara fizikalnya, Saidatina Khadijah tidak mengalami gangguan dan ancaman kaum Musyrikin, tetapi sebagai seorang wanita, beliau turut berasakan penderitaan dan kesedihan jika suaminya menerima tentangan dahsyat dalam menyebarkan dakwah Islam.
# Menghadapi saat suka duka dan susah senang bersama Rasulullah SAW. Perkara ini dapat disaksikan dalam peristiwa pemulauan dilakukan oleh kafir Musyrikin terhadap Bani Hasyim dan Bani Mutalib selama tiga tahun.
Beliau sanggup meninggalkan segala kemewahan demi keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya. Sejuta jasa ditaburnya untuk memberikan perlindungan dan pembelaan kepada suaminya dalam melaksanakan tugas kerasulannya.
Pahit getir dalam menempuh hidup sebagai pejuang Allah dirasakannya. Pelbagai ugutan dan cabaran diharungi bersama Baginda lantaran demi cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.
Jasanya dikenang Rasulullah SAW selepas beliau pergi dijemput menemui Allah SWT. Diriwayatkan pada suatu hari Khaulah Binti Hakim bertanyakan baginda: “Wahai Rasulullah, apakah engkau kesepian berpisah dengan Khadijah? Rasulullah SAW menjawab dengan katanya: “Ya! Demi Allah, Khadijah itu pentadbir dan suri rumah yang baik”.
Selepas itu, baginda memperisterikan Saudah Binti Zum’ah dan Saidatina Aisyah. Ingatan Baginda terhadap Saidatina Khadijah juga amat mendalam sehinggakan Saiditina Aisyah berasa cemburu terhadap Khadijah.
Dalam satu riwayat diceritakan bahawa pada suatu hari, Halah Binti Khuwailid, saudara perempuan Khadijah datang menemui Baginda dengan penuh adab kesopanan seperti adab Khadijah meminta izin mengadap Rasulullah SAW. Baginda berasa gembira melihat perlakuan Halah dan mengungkapkan: “Ya Allah, Halah Binti Khuwailid”.
Mendengar ucapan itu Aisyah cemburu dan berkata: “Kenapa engkau masih mengingati wanita Quraisy yang sudah tua, bermulut merah dan sudah tiada. Bukankah Allah sudah memberikan kepadamu pengganti, isteri yang lebih baik daripadanya?” Lantas Baginda menjawab: “Tidak! Beliau beriman ketika orang lain mengingkariku. Beliau mempercayaiku ketika orang lain mendustakanku. Beliau membantuku dengan hartanya, ketika orang lain tidak memberiku apa-apa. Allah mengurniakan aku anak darinya, tidak daripada isteri yang lain.”
# Keutamaan Khadijah di sisi Allah dan Rasul-Nya dipandang tinggi. Diriwayatkan bahawa Allah menyampaikan salam-Nya kepada Khadijah ketika hidupnya melalui Jibril yang disampaikan kepada Nabi SAW.
Baginda menyampaikan salam itu: “Wahai Khadijah, sesungguhnya Jibril sudah menyampaikan salam kepadamu dari Allah Rabbil ‘Alamin”. Khadijah menjawab salam itu dengan katanya: “Allah Maha Penyelamat, daripada-Nya keselamatan dan kepada-Nya pula kembali keselamatan. Semoga keselamatan atas Malaikat Jibril.”
Ibn Abbas menceritakan keutamaan Saidatina Khadijah pada kaca mata Rasulullah SAW amat tinggi. Diriwayatkan pada suatu hari Rasulullah SAW membuat garis di atas tanah, Baginda pun bertanya kepada sahabat: “Adakah kamu sekalian mengetahui mengenai ini?” Sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.”
Baginda pun bersabda: “Sebaik-baik wanita di dunia ini ada empat orang iaitu Maryam Binti Imran, Asiyah puteri Muzahim (isteri Firaun), Khadijah Binti Khuwailid dan Fatimah Binti Muhammad.”
INTI PATI
Saiditina Khadijah
# Seorang yang tenang dan berjaya menenangkan Rasulullah SAW ketika menerima wahyu pertama di Gua Hira’ selain penyokong kuat Rasulullah SAW dalam menggerakkan usaha dakwah.
# Pembela paling setia dan sanggup mengorbankan seluruh jiwa raga, harta dan perasaannya demi kejayaan perjuangan Rasulullah SAW.
# Meninggalkan segala kemewahan demi keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya serta memberikan perlindungan dan pembelaan kepada suaminya.
# Sanggup mengharungi pelbagai ugutan dan cabaran bersama Baginda lantaran demi cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.
Friday, April 18, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment