Tuesday, December 23, 2008

Muharam

KELEBIHAN BULAN MUHARRAM (Bulan Pertama Tahun Hijrah)
Oleh : Hj Awang Hat Hj Mohd Noor , B.A (Hons) Hashemite Kingdom Of Jordan.

Berpuasa dalam bulan Muharram adalah amat dituntut, terutama di hari kesepuluh, atau disebut hari 'Ashura. Rasulullah s.a.w. telah dilaporkan telah bersabda apabila ditanya tentang doa apakah yang lebih baik selepas doa wajib, jawab Baginda : "Doa di tengah malam." Baginda telah ditanya sekali lagi puasa manakah yang lebih baik daripada puasa sepuluh akhir Ramadhan. Beliau menjawab: "Puasa di dalam bulan yang dipanggil Bulan Muharram." (Ahmad, Muslim, dan Abu Daud)

Hadis ini menunjukkan dengan jelas galakan berpuasa di dalam bulan Muharram berbanding di bulan-bulan yang lain.. Nabi (s.a.w.) bagaimanapun, menekankan puasa hari kesepuluh, 'Ashura. Perkataan "`Ashura" adalah berasal daripada `Ashara, bilangan yang kesepuluh. Suatu hari yang amat bermakna dalam hidup nabi Isa a.s.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas (r.a.) apabila Rasulullah (s.a.w.) berada di Madinah, baginda mendapati kaum bani Israel berpuasa pada hari 'Ashura. Baginda bertanya mengapa mereka melakukan sebegitu. Mereka sahut bahawa ia adalah satu hari yang baik, hari yang Allah menyelamatkan Nabi Musa (a.s.) dan bani Israel daripada musuh mereka. Sebagai menyatakan rasa syukur mereka, maka mereka berpuasa.

Nabi (s.a.w.) lalu bersabda: "saya lebih berhak lagi untuk berbuat demikian " Baginda telah berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan para sahabat untuk berpuasa." (Hadis Muttafaq alaih)

Hadis ini menunjukkan bahawa Nabi (s.a.w.) adalah penyambung kepada risalah Nabi Musa (a.s.) serta nabi-nabi yang lain. Kalau diperhatikan amalan solat contohnya, dilakukan hari ini adalah rentetan ibadat nabi-nabi terdahulu. Begitu juga amalan puasa dan disabdakan nabi sebaik-baik puasa adalah amalan puasa nabi Daud a.s.

Diriwayatakan oleh ibnu Abbas dalam satu hadis lain Rasulullah mendapati para sahabat berpuasa pada sepuluh Muharram lalu baginda bertanyakan mereka kenapa berbuat demikian. Mereka menjawab: ini adalah hari nabi Musa dan kami amat menghormati hari ini dan Musa. Lalu Baginda bersabda: Wahai Ummatku! Jika Allah panjangkan usia saya pada tahun hadapan nescaya saya akan berpuasa pada hari tasu`aa ( 9 Muharram) dan `Ashuraa sekali gus. Ini adalah untuk menyalahi kaum Yahudi dan menyatakan rasa saying kepada Musa a.s.Tetapi Baginda telah wafat sebelum sempat masuk bulan Muharram tahun berikutnya.

Para ulama telah bersepakat menyatakan bahawa amalan puasa di Bulan Muharram disunatkan pada hari-hari berikut:

1. puasa tiga hari iaitu, hari kesembilan, kesepuluh dan kesebelas.
2. puasa dua hari iaitu, hari kesembilan dan kesepuluh.
3. puasa sehari sahaja iaitu hari kesepuluh.


Sama-samalah kita semarakkan cinta raikan hari kebesaran islam ini dengan amalan-amalan sunat. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Barangsiapa bermurah hati membelanjakan keluarganya pada hari `asyura Allah akan bermurah hati memurahkan rezekinya setahun berikutnya- alhadis.

Maklumat lain boleh didapati :

No comments:

Post a Comment