Saturday, June 13, 2009

Sifat malu Rasulullah kepada Allah wajar dicontohi

Sifat malu Rasulullah kepada Allah wajar dicontohi
Posted by: nurjeehan in Akhlak & Adab, Tazkirah
http://nurjeehan.hadithuna.com/sifat-malu-rasulullah-kepada-allah-wajar-dicontohi/

DARIPADA Abu Said al-Khudri katanya: Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat pemalu, lebih pemalu daripada gadis pingitan. Apabila Baginda tidak menyenangi sesuatu, kami dapat mengetahuinya daripada wajah Baginda. (Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan Laa ilaha illallah (Tidak ada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah membuang duri dari jalan dan sifat malu ialah satu cabang daripada iman.( Riwayat al- Baihaqi)

Di dalam perjalanan manusia sebagai hamba untuk mendekatkan diri kepada-Nya, rasa malu adalah tangga yang pertama. Maka, masih sangat jauh sebenarnya kita daripada kewujudan rasa cinta kepada Allah.

Rasulullah sekalipun mempunyai rasa malu terhadap Allah SWT dan ia terserlah dalam kisah Mi’raj Baginda iaitu di saat Rasulullah menerima perintah secara langsung agar umatnya mengerjakan solat.

Pada peringkat awal, Allah memerintahkan solat sebanyak 50 kali dalam sehari dan Baginda sanggup tetapi nabi dan Rasul lain yang ditemui dalam perjalanan mikraj menasihati bahawa tugas itu terlalu berat bagi umat Muhammad.

Lantas Baginda meminta keringanan sehingga bilangan solat dikurangkan kepada lima kali sehari. Saat itu, baginda diingatkan sekali lagi bahawa solat lima kali sehari pun masih terlampau berat.

Namun, baginda berasa amat malu untuk kembali meminta keringanan daripada Allah SWT. Inilah contoh sifat malu yang ada pada diri Baginda. Malu untuk mengurangi nilai pengabdian seorang hamba terhadap Tuhannya.

Kita selaku umatnya tidak pula mempunyai rasa malu mengabaikan perintah solat itu dan juga ibadat lain? Begitulah manusia, lazimnya hanya berasa malu untuk urusan duniawi di hadapan manusia, bukan urusan akhirat di hadapan Tuhan.

Kita tidak berasa malu dengan dosa yang berbukit yang pernah kita lakukan. Malah, mungkin tidak pernah terdetik rasa enggan kita untuk bertemu Allah lantaran berasa malu di atas segala kejahatan dilakukan yang tidak pernah luput daripada penglihatan-Nya.

Abdullah Ibn Masâud meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Orang yang malu kepada Allah dengan sepenuh malu adalah orang yang menjaga kepalanya dari isinya, menjaga perutnya dari segala rezeki tidak halal, selalu mengingati kematian, meninggalkan kemewahan dunia dan menjadikan perbuatan akhirat sebagai hal yang lebih utama. Sesiapa yang melakukan semua itu, maka ia malu kepada Allah dengan sepenuh malu.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

No comments:

Post a Comment