Thursday, January 21, 2010

Adakah Kaki Wanita Aurat?


Assalamualaikum wbt,

Jika ada maklumat atau nas/dalil yg tidak betul diminta memaklumkan kpd admin.
Moga mendapat manfaat. Insyallah.

Terima kasih kpd penulis blog.
Boleh klik di sini.

Baca seterusnya.

Assalamualaikum
Seperti yang Ummu Abbas ketahui Azie tinggal di Asia Barat dan di sini mazhab dan amalan yg diamalkan amat berbeza dgn kita di Malaysia. Azie tak berapa pasti mazhab mana yg diikuti di sini…. kalau solat, terutama kaum wanitanya x menjaga aurat seperti kita..kaki tidak ditutup elok, memakai pewarna kuku yg boleh menghalang air dan bermcm2 lagi perkara yg bertentangan dgn amalan kita. Betul ke ada mazhab yg membenarkan perkara2 seperti itu ?
Azie
**************************************
Wa’alaikum salam warahmatullah Azie,
Persoalan Azie sebelum ini adalah pelbagai topik.
Kak Nur jawab satu persatu supaya tajuknya boleh diasingkan.
Untuk lebih memahami, saya kemukakan contoh perbahasan fuqaha’
mengenai aurat wanita semasa solat.

Aurat wanita semasa solat ialah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.
Hal ini disepakati fuqaha’ berdasarkan dalil-dalil berikut;
Allah berkata,
وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
…dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.
An-Nur 24:31

Maksud ‘kecuali yang zahir’ dalam ayat ini sebagaimana yang ditafsirkan Ibnu Abbas r.a. ialah wajah dan dua tapak tangan wanita.
Aisyah melaporkan,
أَنَّ أَسْمَاءَ بِنْتَ أَبِي بَكْرٍ دَخَلَتْ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَيْهَا ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَأَعْرَضَ عَنْهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتْ الْمَحِيضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا وَأَشَارَ إِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ
Asma’ bint Abu Bakr telah masuk ke tempat Rasulullah s.a.w berada sedangkan dia memakai pakaian nipis. Rasulullah s.a.w lalu berpaling daripada memandangnya sambil berkata, “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haid) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.”
Hadis direkodkan olah Abu Dawud.

Hadis di atas menunjukkan bahawa kaki termasuk aurat tatkala Nabi s.a.w mengecualikan hanya wajah dan tangan.
Dalil lain yang menunjukkan dua kaki adalah aurat ialah hadis yang dilaporkan oleh Ummu Salamah. Dia pernah bertanya Rasulullah s.a.w ,
Apakah seorang wanita boleh menunaikan solat di dalam pakaian labuh dan tudungnya jika dia tidak mempunyai sarung? Nabi s.a.w menjawab,
إِذَا كَانَ الدِّرْعُ سَابِغًا يُغَطِّي ظُهُورَ قَدَمَيْهَا

“Asal pakaian labuh (jubah) itu sempurna dan menutupi zahir kedua kakinya.”

Hadis direkodkan oleh Abu Dawud.

Abu Dawud menyatakan sesetengah perawi hadis ini tidak menyebut ia daripada Rasulullah s.a.w tetapi dari Ummu Salamah sendiri.
Jika ia lafaz Ummu Salamah sekalipun, ia tetap menjadi dalil yang kuat memandangkan Ummu Salamah adalah isteri Rasulullah s.a.w. Sudah tentu Ummu Salamah mengamalkan perkara yang telah diketahui benar dari Rasulullah s.a.w itu sendiri.
Abu Dawud dan Al-Tirmizhi merekodkan hadis daripada Aisyah r.a yang mengatakan, bahawa Rasulullah s.a.w berkata,
لَا يَقْبَلُ اللَّهُ صَلَاةَ حَائِضٍ إِلَّا بِخِمَارٍ
“Allah tidak menerima solat wanita yang telah haid kecuali dengan mengenakan tudung”.

Hadis ini menunjukkan wanita yang telah baligh wajib menutup seluruh kepalanya ketika mahu solat.

Imam Tirmizi mengulas hadis ini di dalam Jami’nya (kitab karya beliau), “Apabila wanita yang telah baligh dan mukallaf melakukan solat dan ada bahagian rambutnya terdedah, maka solatnya dianggap tidak sah”.

Berdasarkan rasional yang telah dikemukakan, adalah jelas aurat wanita ketika solat ialah seluruh badan kecuali muka dan dua tapak tangan. Fuqaha’ sepakat menyatakan demikian kecuali kaki, ada fuqaha’ yang mengatakan ia dimaafkan jika terbuka.
Rasional pendapat yang mengatakan kaki bukan aurat ialah,

“Menutup dua kaki semasa solat adalah disunatkan (digalakkan) serta bukan kewajipan yang tiada tawaran (rukhsah). Ini adalah kerana dua kaki bukan aurat yang wajib ditutup. Takwilan seperti ini dikuatkan oleh sebab adanya keperluan wanita membuka kedua kaki jika wanita berjalan. Sekiranya mereka menutup kaki, maka keadaan itu akan menyusahkan. Disamping itu, sesungguhnya kaki wanita bukan merupakan daya tarik bagi lelaki ketika dia melihat kakinya, tidak seperti ketika melihat wajahnya. Kalau wajah sahaja bukan aurat, walhal ia lebih banyak menjadi daya penarik lelaki, maka apatah lagi kaki. Justeru itu, kaki bukanlah aurat wanita”.

Secara peribadi, saya melihat hujjah yang mengatakan kaki bukan aurat agak lemah dibandingkan dengan hadis-hadis yang telah dinyatakan di atas. Hujjah yang digunakan lebih kepada lojik akal. Sedangkan lojik akal bila bertembung dengan nas, maka nas perlu diutamakan.

Berapa banyak perkara agama yang tidak boleh disandarkan kepada lojik akal semata-mata disebabkan terbatasnya akal manusia untuk berfikir. Alasan sukar berjalan jika menutup kaki tidak boleh lagi dipakai pada zaman sekarang. Lebih-lebih lagi di zaman teknologi moden semakin berkembang, wanita masih boleh memakai stokin yang pelbagai fesyen sekarang.
Saya pernah membaca kisah seorang wanita yang meremehkan menutup kaki semasa menunaikan haji. Banyaklah rungutannya akibat terpaksa memakai stokin, lebih-lebih lagi ketika stokinnya basah terkena air. Akibatnya dia ditimpa bala oleh Allah swt. Setelah sedar punca bala tersebut, wanita itu bersungguh-sungguh menjaga aurat kakinya.

Mengambil iktibar dari kisah wanita itu, saya sendiri memakai stokin ketika menemani anak-anak bermain air di taman tema air. Taman tema air seperti di Bukit Merah dan The Lost World of Tambun merupakan kawasan umum yang mencampur aduk lelaki dan wanita. Jadi pilihan yang ada ialah tetap memelihara aurat kaki. Biar stokin dibasahi air asalkan diri tidak dibasahi dosa.

Seorang lelaki menyarankan dalam blognya agar wanita tetap menutup kaki di rumah jika terdapat tetamu lelaki.
Sebelumnya, saya meringankan juga dari menutup kaki seperti ketika ada tetamu lelaki di rumah atau ketika bermain air di pantai dengan alasan rukhsah dan memakai pendapat yang mengatakan kaki bukan aurat. Namun sekarang saya berusaha melakukan yang terbaik setakat termampu. Dunia hanya sementara. Masa kita terlalu singkat untuk beramal dengan ajaran Islam. Oleh sebab itulah Allah bersumpah dengan masa dalam surah al-‘Asr. Kemudian dikatakan manusia ini memang sentiasa rugi kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh.

Suami sendiri bertegas dalam hal menutup kaki. Dia pernah menegur saya menutup wajah tetapi membuka kaki. Kaki lebih aula ditutup berbanding wajah berdasarkan hujjah-hujjah yang ada.
Mengenai situasi yang Azie alami di sana, ia adalah perkara biasa berlaku sekarang di mana-mana negara ummat Islam. Masyarakat Arab Jordan dulu pun begitu juga. Meskipun di Fakulti Syariah, melihat gadis-gadis Arab bersolat dengan rambut terjurai di dahi dan menampakkan kaki adalah perkara biasa. Sebagai pelajar yang memahami ibadah berdasarkan ilmu, kami tidak mengikut tabiat yang tidak baik itu. Kita dianjurkan Islam untuk beramal dengan perkara yang diyakini dan meninggalkan perkara yang diragui kebenarannya.

Walau bagaimana pun, dalam kes aurat kaki ini, meskipun kita memilih pendapat yang mempunyai hujjah yang kuat dan apa yang menenangkan hati kita. Namun kita tetap perlu meraikan pandangan orang lain yang berbeza. Justeru itu, kita tidak boleh memaksa para wanita di Asia Barat solat sama seperti kita yakni menutup kaki. Kita hanya boleh beritahu mereka hujjah yang kita tahu. Terserahlah kepada mereka mahu menerimanya atau tidak. Adapun amalan wanita Malaysia yang menutup kaki semasa solat wajar diteruskan secara istiqamah kerana ia paling tepat dengan petunjuk Nabi s.a.w.
Untuk perkara-perkara lain yang disebutkan atau tidak dinyatakan, garis panduan memilih pendapat untuk diamalkan ialah yang mempunyai hujjah yang kuat. Ini termasuklah memakai pewarna kuku yang boleh menghalang air. Ia menyebabkan wuduk tidak sah. Bukanlah bila dikatakan Arab, maka semuanya alim dan memahami secara mendalam mengenai Islam. Mereka sama seperti umat Islam di Malaysia, mana yang belajar akan tahu dan yang tidak belajar akan tetap jahil.

Arab yang tahu, beriman dan beramal akan menjadi muslim yang baik.
Arab yang tahu tetapi tidak mahu beriman dan tidak mahu mengamalkan tetap menjadi muslim yang jahat.

Islam membekalkan kepada ummatnya prinsip-prinsip yang jelas dalam beramal yakni rujukannya al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas. Kita sekali-kali tidak dibenarkan mengikut amalan kerana bangsa mereka atau keturunan mereka dan lain-lain yang berunsur taqlid.

Semoga Azie dapat bersabar dan berlapang dada menghadapi situasi masyarakat yang berbeza dengan kefahaman kita selama ini. Pengalaman adalah satu ilmu yang amat berharga dari Allah swt.

Apa yang baik datangnya dari Allah, apa yang kurang dari kelemahan penulis sendiri.

Buah cempedak di luar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Saya ibu yang terus belajar
Jika salah tolong tunjukkan
Wassalam.
Ummu Abbas
11.11am
5 Safar 1431H

No comments:

Post a Comment