Assalamualaikum wbt,
Satu artikel menarik yg dikupas oleh Isteri Ust Zaharuddin. Moga Allah swt memperbaiki peranan kita sebagai khalifah Allah swt. Amiin.
Boleh klik di sini.
Sumber
Saya sebenarnya kurang selesa bila ada orang bertanya berapa juzukkah bacaan al-Quran anak-anak saya. Andai sekadar bertanya, masih tidak mengapa. Saya akan menjawab dengan penuh lapang dada. Akan tetapi, yang menjadi sebab ketidakselesaan saya ialah bila jawapan saya dibalas dengan pandangan mata seakan tidak percaya.
“Eh..takkan baru banyak tu. Anak saya, Alhamdulillah… dah nak khatam dah,” dia berkata dengan nada suara dan senyum sinis yang menyakitkan mata dan jiwa saya. Namun, saya tahankan hati. Buat-buat biasa, seolah-olah tidak terasa.
“Tak mengapalah…saya memang agak ‘keras’ dalam bab mengaji ni. Selagi belum betul-betul lancar, bacaan mereka tidak akan saya alih ke muka surat seterusnya,” penuh yakin saya menjelaskan pendirian.
Saya percaya, ada di kalangan pembaca yang pernah mengalami situasi sama seperti saya. Tidak tahu apa tujuan dan maksud dia berkata begitu. Bukanlah saya mahu menelah niat di dalam hatinya, cuma cara dia menyatakan kesyukuran atas pencapaian anaknya itu, seakan-akan satu sorakan kemenangan atas kekalahan saya dan anak-anak untuk bergelar juara.
Apakah maknanya?
PERTANDINGAN IBU BAPA
Saya melihat situasi ini sebagai sesuatu yang tidak sihat. Kebimbangan ini semakin meningkat, bila mana saya membaca komen-komen ibu bapa dari mana-mana blog yang saya lawati. Gaya mereka mengkritik, serta dalam masa yang sama menonjolkan kebaikan dan kejayaan anak-anak mereka, bagi saya amat tidak kena.
Seakan-akan mereka mahu menyatakan, merekalah ibu bapa yang mahir mendidik. Cara mereka, adalah cara yang terbaik dan seumpamanya.
Begitu juga dalam perbualan sehari-hari. Topik berbangga dengan kecemerlangan anak-anak hasil asuhan dan didikan mereka sering ditonjolkan dalam suasana penuh mendabik dada. Sebagai contoh, cuba anda teliti perbualan di bawah :
“Anak-anak saya susah betul nak solat tanpa disuruh,” keluh seorang ibu.
“Oh..anak-anak saya tak pula begitu. Masuk je waktu terus mereka solat bersama-sama. Syukur..mudah kerja saya,” balas ibu kedua dengan senyum simpulnya.
“Anak-anak saya pulak, solat ke, mengaji ke..semua mereka tahu buat sendiri. Tak payah saya bising-bising,” jawab ibu ketiga dengan senyuman melebar ke telinga.
Amat mendukacitakan! Ibu-ibu tersebut bagaikan cuba saling menyaingi antara satu sama lain. Seumpama mereka menyertai pertandingan sukan sahaja kelihatannya. Individu yang menang tersenyum puas melihat lawan lain yang kecundang. Semua yang ada tidak mampu mengatasi kehandalannya.
Bukankah lebih baik sekiranya perbualan tersebut berlansung begini :
“Anak-anak saya susah betul nak solat tanpa disuruh,” keluh seorang ibu.
“Oh, budak-budak memang begitu. Lebih-lebih lagi bila dah ada permainan atau cerita di depan mata. Tapi, kita sebagai ibu bapa tak boleh putus asa. Kena selalu ingatkan dan beri nasihat,” balas ibu kedua dengan kata-kata semangat.
“Ya, betul tu. InsyaAllah, kalau selalu diajak solat bersama, mengaji bersama..lama-lama mereka akan biasa. Lagi pun, itu untuk kebaikan mereka juga,” jawab ibu ketiga dengan kata-kata meransang jiwa.
FASTABIQUL KHAIRAT
Hakikatnya, Islam meraikan apa saja kaedah dan cara mendidik anak-anak, asal sahaja ia tidak bercanggah dengan ajaran agama yang mulia. Hikmahnya, untuk memberi peluang bersaing secara sihat dalam menggapai kebaikan. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :
“Maka berlumba-lumbalah kamu (dalam berbuat) kebaikan “ ( Surah al Baqarah ayat 148 )
Namun perlumbaan yang digalakkan ini bukanlah perlawanan yang bersifat saling menjatuhkan, sebaliknya ia berkait rapat dengan sikap saling membantu ke arah ketaqwaan dan ketaatan. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan tolong menolonglah kalian dalam kebaikan dan takwa dan janganlah kalian tolong menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan.” ( Surah al Maidah ayat 2 )
Justeru itu, pada saya, ibu bapa tidak sepatutnya saling cuba mengatasi antara satu sama lain. Kemahiran keibubapaan dan kejayaan anak bukanlah satu pertandingan yang sifatnya berlumba-lumba untuk menang. Sebaliknya ia adalah perlumbaan meraih kebaikan dalam keadaan tetap menjaga ukhuwwah dan nilai persaudaraan sesama Islam. Boleh menjadi kompetitif, tapi bukan dengan menjatuh dan melekeh!
Andai ada ibu bapa yang merasakan cara didikannya adalah cara yang baik dan boleh disebarluaskan, berkongsilah manfaatnya tanpa merendah-rendahkan kemampuan dan upaya orang lain. Sementara kepada yang masih belum berpuas hati dengan amalan dan gaya didikan, belajarlah dari ibu bapa lain dengan ikhlas tanpa membuat perbandingan.
SAYANGI SAUDARAMU
Inilah penegasan Rasulullah SAW tatkala Baginda menitipkan sabdanya yang bermaksud :
“Tidak beriman salah seorang dari kamu sekalian, sehingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya.” ( Riwayat Bukhari dan Muslim )
Sesuai dengan saranan dari hadis di atas, dapat difahami bahawa kasih sayang merupakan elemen utama yang perlu ada dalam diri setiap Muslim terhadap saudara Muslimnya yang lain. Apa-apa kebaikan yang dinikmatinya, mahu terus dikongsi bersama. Manakala apa-apa keburukan yang menimpa, bersegera dia berdoa dan berharap agar tiada orang lain mengalami nasib serupa.
Lebih-lebih lagi jika kebaikan yang diperoleh berkait perkara-perkara agama yang pastinya penting untuk meraih kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat sana. Inilah keinginan kita semua. Namun, hal ini tidak akan pernah wujud dan sulit mencapainya jika tiada usaha bantu membantu dan tolong menolong untuk membuka jalan kearah keinginan tersebut.
Ingatlah, kedamaian dan keharmonian hidup di dunia ini tidak akan terhasil hanya dengan satu dua keluarga sahaja yang berjaya, atau satu dua keluarga yang anak-anaknya berakhlak belaka. Akan tetapi, ia dapat diperoleh bila setiap keluarga yang membentuk masyarakat itu juga berjaya dan berakhlak mulia.
Demikian pengajaran dari perjalanan hidup Rasul yang mulia. Bermula dengan persaudaraan suku Aus dan Khazraj seterusnya penyatuan kaum Muhajirin dan Ansar, akhirnya melahirkan sebuah negara Islam yang mampan. Digeruni kawan dan lawan.
BUKAN PERTANDINGAN!
Akhirnya, setiap ibu bapa perlu yakin dengan corak didikan dan asuhan masing-masing. Seterusnya, berlapang dada terhadap ketidaksempurnaan yang mungkin ada. Apa yang perlu adalah sentiasa menambah baik apa yang ada dari semasa ke semasa. Terlalu berbangga dengan pencapaian keluarga dalam keadaan memandang sebelah mata kepada keluarga yang kurang berjaya, hanya akan mencambah benci dan hasad di dalam jiwa.
Kita semua manusia. Sifat riak, bangga diri, cemburu dan iri hati, semua itu merupakan jarum-jarum syaitan yang tidak membawa erti apa-apa.
Paling penting, kasihanilah anak-anak. Jangan jadikan mereka umpama ayam sabungan. Menangnya dijulang, tewasnya nanti alamat mati dipanggang. Mereka juga punya perasaan dan perlukan perhatian.
Jangan pula, anak-anak yang memiliki ibu bapa berdaya saing ini beranggapan, hanya dengan kecemerlangan zahir dan fizikal sahaja mereka akan dapat meraih perhatian istimewa ibu bapa. Nama mereka disebut-sebut setiap masa, sedangkan jika gagal, tiada lansung pandangan gembira apatah lagi keghairahan untuk bermesra sebagai satu keluarga. Lebih bimbang, sekiranya kegagalan spiritual tidak termasuk dalam senarai keutamaan ibubapa.
Lagi pula, bukanlah kejayaan masa kecil ini petanda kepada kejayaan yang konsisten di waktu dewasa. Mungkin sahaja, suasana akan bertukar sebaliknya. Realiti yang berlaku banyak mengesahkan hal ini.
Lalu, mengapa tidak kita mulakan hari ini. Berusaha menyapa sahabat-sahabat bergelar ibu bapa dengan perasaan ingin saling berkongsi kebaikan dari pengalaman yang ada (tentu saja dengan senyum yang ramah dan menyejukkan). Mudah-mudahan, secara tidak langsung kita sudah mengikat rantaian kasih sayang dan persaudaraan.
Semoga masyarakat Islam yang gemilang terbilang sama-sama dapat kita jelmakan! InsyaAllah.
Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.
Jumpa lagi, InsyaAllah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment