Wednesday, February 24, 2010

Usrah: Menjaga / Menunaikan Amanah


Assalamualaikum wbkt.
Alhamdulillah  pada 20hb Februari 2010 Helwa telah mengadakan usrah bermula pada pukul 2.15 petang di surau universiti  yang dipengerusikan oleh Cik Siti Aisyah Mohd Tahir. Tajuk yang di bincangkan pada minggu tersebut adalah Menjaga/Menunaikan amanah. Semoga kita dapat menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan kita sehari-hari untuk mencapai Mardhotillah. Insya Allah


Menjaga/menunaikan amanah
"Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-gunung, (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula mebuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan”.(al-Ahzab:72)
Takrif Amanah

  1. Bahasa : Bermakna al-wafa’  (memenuhi) dan wadi’ah (titipan)


  2. Definisi : Seorang muslim memenuhi apa yang diberikan kepadanya. Hal ini berdasarkan firman ALLAH SWT : ”Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (SuruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar,lagi sentiasa melihat ”. (an-Nisa’:58)

Dalil-dalil syariat

  1. Al-Quran - dua ayat di atas dan al-Baqarah:283; al-Anfal:27; al-Mu’minun:8; dan al-Ma’arij:32


  2. Al-Hadith - Setiap kalian adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan diminta pertanggungjawaban kelak di hari Kiamat, seorang pemimpin pemerintahan adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban tentang rakyatnya, suami adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban tentang anggota keluarganya, isteri adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban tentang rumahtangga suaminya serta anak2nya, dan seorang pembantu adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban tentang harta benda majikannya, ingatlah bahwa setiap kalian adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban kelak di hari Kiamat.” (HR Muttafaq ‘alaih)

Hubungan amanah dengan keimanan

  1. Amanah merupakan tuntutan iman dan khianat merupakan tanda hilangnya keimanan dan mulai merasuknya kekafiran dlm diri seseorang. Sabda nabi SAW : “Tidak ada iman pada orang2 yang tidak ada amanah dalam dirinya, dan tidak ada agama pada orang yang tidak bisa dipegang janjinya.” (HR Ahmad)


  2. Hilangnya Amanah Merupakan Tanda Kiamat, yang salah satu cirinya adalah dipegangnya amanah oleh orang2 yang bukan ahlinya dalam masalah tersebut. Sabda nabi SAW : “Ketika amanah telah disia-siakan maka tunggulah tibanya Kiamat.” Kata para sahabat ra : Bagaimanakah disia-siakannya wahai rasuluLLAH? Jawab nabi SAW : “Ketika suatu urusan dipegang oleh yang bukan ahlinya maka tunggulah tibanya Kiamat.’”(HR Bukhari)


  3. Hilangnya Amanah Terjadi Bertahap, sebagaimana sabda nabi SAW : “Seorang tertidur maka hilanglah amanah dari hatinya bagaikan titik hitam, lalu ketika ia tertidur lagi maka hilanglah amanah tersebut bagaikan bekas/jejak, demikianlah seterusnya sampai tidak ada lagi amanah di hatinya, dan tidak ada lagi di hati manusia, sehingga mereka tidak menemukan lagi orang yang amanah. Maka berkatalah sebahagian mereka : Di tempat anu masih ada seorang yang bisa dipercaya. Sampai dikatakan kepada seseorang : Ia tidak bisa dipegang, tidak berakal, tidak ada di hati mereka sebesar biji sawi dari keimanan”.(HR Muslim)

Jenis-jenis amanah

  1. Amanah Fitrah : Amanah yang diberikan oleh Sang Pencipta, Allah SWT sejak manusia di dalam rahim ibunya, bahkan jauh sejak di masa alam azali, iaitu mengakui bahwa ALLAH SWT sebagai RABB/Pencipta, Pemelihara dan Pembimbing.
    Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): Bukankah Aku tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”. (al-A’raf:172)


  2. Amanah Syari’ah/Din : Iaitu untuk tunduk patuh pada aturan ALLAH SWT dan memenuhi perintah-NYA dan menjauhi larangan-NYA, barangsiapa yang tidak mematuhi amanah ini maka ia zalim pada dirinya sendiri, dan bodoh terhadap dirinya, maka jika ia bodoh terhadap dirinya maka ia akan bodoh terhadap RABB-nya. (al-Ahzab:72)


  3. Amanah Hukum/Keadilan : Amanah ini merupakan amanah untuk menegakkan hukum ALLAH SWT secara adil baik dalam kehidupan peribadi, masyarakat mahupun bernegara (an-Nisa’:58). Makna adil adalah jauh dari sifat ifrath (ekstrem/berlebihan) mahupun tafrith (longgar/ berkurangan).
    Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”.
    (an-Nisa 58)


  4. Amanah Ekonomi : Iaitu bermu’amalah dan menegakkan sistem ekonomi yang sesuai dengan aturan syariat Islam, dan menggantikan ekonomi yang bertentangan dengan syariat serta memperbaiki yang kurang sesuai dengan syariat.
    Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan” (al-Baqarah:283)


  5. Amanah Sosial : Iaitu bergaul dengan menegakkan sistem kemasyarakatan yang Islamik, jauh daripada tradisi yang bertentangan dengan nilai Islam, menegakkan amar ma’ruf dan nahi munkar, menepati janji serta saling menasihati dalam kebenaran, kesabaran dan kasih-sayang.
    Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya”. (al-Mu’minun:8)


  6. Amanah Pertahanan dan Keamanan : Iaitu membina fizikal dan mental, dan mempersiapkan kekuatan yang dimiliki agar bangsa, negara dan ummat tidak dijajah oleh imperialisme kapitalis mahupun komunis dan berbagai-bagai musuh Islam lainnya.
    Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”. (al-Anfal:27)

Kisah Rasulullah SAW menunaikan amanah
IBN Ishaq menceritakan bahawa ketika peristiwa pembukaan kota Makkah, Rasulullah menuju Kaabah dan melakukan tawaf sebanyak tujuh kali. 
Selesai bertawaf, Baginda memanggil Uthman ibn Thalhah dan meminta kunci Kaabah daripadanya. Baginda masuk ke dalam Kaabah dan mengeluarkan patung, termasuk satu patung berbentuk merpati diperbuat daripada kayu. Selepas itu, Baginda berdiri di hadapan Kaabah dalam keadaan orang ramai ternanti-nanti menunggu apa yang akan diucapkannya. 
Lalu Baginda bersabda yang bermaksud:
Tiada tuhan selain Allah, yang berdiri sendiri-Nya, tiada sekutu bagi-Nya. Benar segalajanji-Nya. Menolong hamba-Nya dan mengalahkan musuh yang bersekutu dengan sendiri-Nya. Segala dendam kesumat, darah atau harta yang diperselisihkan mula hari ini adalah di bawah tapak kakiku, kecuali Sidanah (penampungan orang haji) dan Siqayah (memberi minuman jemaah haji).”(HR Imam Ahmad)

Selesai berucap, Baginda duduk kembali dalam masjid. Kemudian datang Saidina Ali ibn Abi Talib memohon agar Baginda menyerahkan kepadanya kunci Kaabah yang diambil daripada Uthman ibn Thalhah. Kata Saidina Ali: “Wahai Rasulullah, serahkanlah kunci itu kepadaku, supaya terkumpul di tangan kita urusan hijabah (juru kunci) dan soal makan minum orang haji.” 
Rasulullah tidak menjawab permintaan Ali, sebaliknya bertanya: “Di manakah Uthman ibn Thalhah?” Apabila Uthman datang menemui Baginda, lalu Nabi bersabda bermaksud: “Wahai Uthman, ini kuncimu, hari ini adalah hari kebajikan dan penunaian janji.” 
Lalu Baginda membaca sepotong ayat yang maksudnya:
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhannya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baik kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” (an-Nisa’:58)

Sesiapa yang tidak menunaikan amanah sesungguhnya, telah menyemai benih-benih kemunafikan dalam dirinya. Abu Hurairah meriwayatkan sebuah hadis, katanya Rasulullah bersabda yang maksudnya:
Tanda orang munafik ada tiga: Apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya.” (HR al-Bukhari, Muslim, at-Tarmizi, al-Nasa'i dan Ahmad)
Akibat tidak menunaikan amanah
Sebagai orang Islam, kita percaya bahawa segala perbuatan yang dilakukan di dunia ini akan mendapat pembalasan sama ada ganjaran pahala atau azab siksa di akhirat nanti. Maka tidak menunaikan amanah atau melakukan khianat akan menerima balasan siksa di akhirat kelak sebagaimana firman Allah:
 Dan tiadalah patut bagi seseorang Nabi itu (disangkakan) berkhianat  (menggelapkan harta rampasan perang), dan sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), ia akan bawa bersamanya pada hari Kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu; kemudian tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak akan dikurangkan sedikitpun (balasannya).”(Ali ‘Imran:161)
Abu Hurairah ra berkata: “Kami keluar bersama Rasululah SAW menuju Khaibar. Allah memberikan kemenangan kepada kami, tetapi kami tidak mendapatkan rampasan perang berupa emas atau perak. Hanya kami perolehi adalah barang-barang makanan dan pakaian. Kemudian kami menuju satu lembah dan bersama Rasulullah SAW ialah seorang hamba pemberian seorang lelaki dari Juzam bernama Rifa‘ah bin Zaid daripada Bani ad-Dhubaib. Ketika kami menuruni lembah, hamba Rasulullah SAW itu berdiri untuk melepaskan tali ikatan kenderaannya. Malangnya, dia terkena anak panah dan di situlah dia meninggal, lalu kami berkata: “Kami bersyukur dia gugur dalam mati syahid”. Rasulullah SAW bersabda:“Tidak! Demi diri Muhammad, sesungguhnya sehelai pakaian jubah akan memarakkan api neraka ke atasnya. Pakaian itu dia ambil daripada harta rampasan perang Khaibar, padahal pakaian itu bukan bahagiannya”.(Berkata Abu Hurairah): “Lalu orang ramai menjadi takut”. Maka datang seorang lelaki dengan membawa seutas atau dua utas tali kasut dan berkata: “Ya Rasulallah aku mendapatkannya ketika perang Khaibar”.
Rasulullah SAW bersabda: “Seutas atau dua utas tali tersebut (boleh membawa) kepada neraka”. (HR Muslim)
Penutup
Amanah adalah perintah Allah SWT dan Rasul-Nya berdasarkan ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW. Perlu diambil perhatian bahawa tidak beramanah akan memasukkan si pelakunya ke dalam api neraka.
Amanah tidak hanya terhad kepada pemimpin bahkan kepada setiap individu terhadap apa yang telah diamanahkan kepadanya. Dengan mengambil i‘tibar daripada peristiwa Isra‘ dan Mi‘raj, dalam konteks amanah dan lain-lain peristiwa yang ditunjukkan mudah-mudahan dapat membina penghidupan yang lebih sempurna bagi menghadapi hari-hari yang mendatang kerana amanah itu termasuk dalam perkara iman.
Penyampai & Nota : Siti Aisyah Mohd Tahir


No comments:

Post a Comment