Thursday, April 23, 2009

Resepi Bebola Daging

Bebola Daging



Bahan-bahan:



Daging hancur (ayam/lembu/kambing/campuran) – 2kg

Bawang putih – 12 ulas (3ulas/ ½ kg daging)

Udang Tepung ubi kayu

Putih telur – 4 biji

Garam (secukup rasa)

Serbuk lada hitam (black pepper) - sekadar perlu

Minyak bijan (sesame oil) -sekadar menghilangkan bau







Cara-cara:

1) Kisar daging hancur bersama bawang putih dan udang sehingga lumat dan sebati

2) Masukkan daging yang telah dikisar tadi ke dalam bekas/mangkuk besar

3) Masukkan tepung ubi kayu ke dalam bekas berisi daging dan uli sehingga sebati.

4) Masukkan putih telur,garam,serbuk lada hitam dan minyak bijan ke dalam bekas dan uli sekali lagi sehingga sebati.

5) Tambah tepung ubi kayu jika adunan daging masih lagi ‘melekat-lekat’ di tangan.

6) Panaskan air di dalam periuk

7) ‘Gentel’ atau nama rasminya bentuk-bentukkan daging menjadi bebola-bebola kecil dan masukkannya ke dalam periuk yang berisi air panas tadi.

8) Tunggu sehingga bebola daging ‘terapung’ sebelum di angkat (mcm ondeh-ondeh)

9) Rendam bebola daging di dalam air sejuk selama 5-10 minit bagi tujuan pengerasan.

10) Bebola daging sudah sedia untuk dimakan.







*Bebola daging ini boleh dihidang bersama-sama sup/bakso/bubur.



SELAMAT MENCUBA!!!



Resepi Bala-bala

Assalamualaikum wbt & semoga diberi kesihatan baik oleh Allah SWT,



Alhamdulillah dan dengan izin Allah dapat juga akhirnya menyiapkan resepi ini. Terima kasih kepada adik tercinta.. Ida Farida atas ihsan menyalin resepi ini. Mudahan berjaya hendaknya mencuba resepi ini. InsyaAllah.



Resepi Bala-bala



Bahan-bahan:

Udang (mengikut citarasa)

Bawang putih(3-4 ulas sudah memadai tapi kalau suka boleh tambah)

Bawang besar

Telur – 4 biji

Tepung gandum

Sayur-sayuran rangup (e.g Lobak merah, kobis, tauge, leek, jagung butir

Garam(secukup rasa)

Gula(secukup rasa)

Serbuk lada hitam(sesedap rasa)



Cara-cara:

1) Potong sayur

2) Kisar udang bersama bawang putih

3) Campurkan telur dan udang yang telah dikisar tadi bersama sayur yang telah dipotong

4) Masukkan tepung,garam,gula,dan serbuk lada hitam ke dalam adunan

5) Tambah air untuk mendapatkan adunan yang diinginkan.

6) Goreng seperti menggoreng jemput-jemput@cekodok





7) Sedia untuk dihidangkan bersama pencecah (sos@kuah kacang)







SELAMAT MENCUBA

Monday, April 20, 2009

Takziah buat Norazlina (Bebeh)

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Assalamualaikum wbt & semoga dilimpahi rahmat Allah SWT,

Allah SWT berfirman:

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati."
(Ali Imran: 185)

Mohon maaf atas keterlewatan ini, salam takziah buat Norazlina atas kematian ayah tercinta. Semoga Allah SWT melimpahkan rahmatNya buat roh ayahanda.

Daripada Abdullah, daripada Nabi SAW, sabdanya: 'Siapa menghiburkan orang kena kemalangan, maka baginya seumpama pahalanya'

Dalam hadis yang lain:

Diriwayatkan daripada seseorang sahabat bagi Nabi SAW yang masyhur dengan nama Abdullah bin Masud r.a., diriwayatkannya satu hadith daripada Nabi SAW, katanya: Telah bersabda Nabi SAW: Barangsiapa takziahkan, yakni: pergi memberi sabarkan orang yang kena kematian dan lainnya, maka baginya seumpama pahala."


Kematian itu adalah pasti dan kehidupan akhiratlah yang kekal. Doa untuk kebaikan dalam kehidupan akhirat simati adalah dituntut seperti hadis berikut:

Daripada Ummu Salamah, katanya: Telah bersabda bagi kami Rasulullah SAW: 'Apabila datang sekalian kamu akan orang sakit atau mati, maka ucap olehmu akan baik, maka bahawasanya malaikat itu mengaminkan atas barang yang kamu sekalian ucap'. Katanya: Maka tatkala mati Abu Salamah, datang aku akan Nabi SAW, maka kataku: " Ya Rasulullah, bahawasanya Aba Salamah sudah mati ia." Sabdanya: 'Maka ucap oleh mu: Hai Tuhanku, ampun olehmu bagiku dan baginya dan beri ganti akan daku daripadanya akan gantian yang baik.' Katanya: Maka kataku"Maka memberi ganti Allah daripadanya akan orang yang ialah lebih baik daripadanya akan Rasulullah SAW." (Hadis Shahih)

Dalam hadis yang lain:

Diriwayatkan daripada seorang sahabat bagi Nabi SAW dan saudara sepupunya, namanya Abdullah bin Abbas r.a. hatanya: Bahawasanya Nabi SAW telah membaca ia atas jenazah yang disembahyangkan dengan Fatihatul-Kitab.

Buat Norazlina, semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepadamu adikku dan banyakkan beramal dan berdoa kerana doa anak yang soleh akan sampai kepada ibubapanya. Semoga dipermudahkan segala urusan di dunia dan di akhirat.

Salam penuh takzim,




Friday, April 17, 2009

Tazkirah Hari Jumaat - 17 April 2009

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Sebutlah Nama Tuhan yang Mencipta,

Assalamualaikum wbt dan semoga dirahmati Allah SWT untuk semua muslimin dan muslimat,

Segala puja-puji itu hanya padaMu Ya Allah dan selawat dan salam buat junjungan kita Nabi SAW, ahli keluarga baginda, sahabat baginda serta kaum muslimin dan muslimat seluruhnya. Dipanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas limpah dan rahmatNya kepada kita, masih diberikan kekuatan bernafas dengan sempurna, kesihatan dan ketenangan, Alhamdulillah. Apakah kaedah terbaik untuk menzahirkan istilah 'Alhamdulillah' yang amat mudah kita ungkapkan di mana-mana, kerap kali atau sentiasa dilafazkan. Itu satu dari zikrullah, tetapi alangkah molek sekali jika ia dizahirkan dengan perlakuan dan tingkah laku. Mudahan kita diberikan kekuatan, kemudahan, kelapangan, kedamaian dan ketenangan agar dapat mempraktikkan segala suruhanNya berlandaskan ungkapan segala puja-puji bagiMu Ya Allah.

Majlis ilmu minggu yang lalu memperbincangkan tentang tajuk tingkah-laku yang dilarang dan salah satu darinya adalah bahayanya LIDAH. Berikut adalah beberapa ayat-ayat Al-Quran tentang bahayanya lidah. Terjemahannya adalah seperti berikut:

Allah SWT berfirman yang lebih kurang maknanya:

Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat/mengeji sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. (Al-Hujarat, Ayat 12)

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman:

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya. ( Al-Israa', Ayat 36)

Dan dalam ayat yang lain lagi, Allah SWT berfirman:

Tiada satu ucapanpun yang diucapkannya melainkan ada didekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir. (Qaaf, Ayat 18)

Bersama ini saya sertakan link tafsir yang secara spesifik membicarakan tentang dosa lidah (Surah Al-Humazah). Mudahan mendapat manfaat darinya dan agar kita menjauhkan diri dosa besar ini. Auzubillah.

Ada juga beberapa hadith yang meriwayatkan akan keburukan lidah dan antaranya adalah seperti dibawah ini. Saya kekalkan bahasa Inggerisnya agar tidak mengubah maknanya.

Abu Hurairah r.a. reported: The Prophet SAW said, "He who believes in Allah and the Last Day must either speak good or remain silent." ( Muslim)


Dalam hadis yang lain:

Abu Musa Al-Ash'ari r.a. reported: I asked the Messenger of Allah SAW: "Who is the most excellent among the Muslims? He said, "One from whose tongue and hands the other Muslims are secure." (Al-Bukhari and Muslim)


Berdasarkan dua hadith di atas, dapatlah disimpulkan bahawa sebagai seorang mukmin, haruslah kita berjaga-jaga, berhati-hati, dan berwaspada dengan segala perkataan yang kita luahkan. Pepatah Melayu ada juga menyatakan: Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dosa tertanggung sampai ke mati jika tidak dimaafkan orang yang dikata dan jika Allah SWT tidak mengampunkan dosa kita.. Auzubillah....Saya mendoakan agar kita semua diberikan taufik dan hidayahNya dalam mencari keredhaan dan rahmatNya.

Sampai di sini dulu buat kali ini, yang baik itu datang dari Allah SWT dan yang buruk juga dariNya atas kesilapan dan kelemahan diri saya. Saya memohon ampun dari Allah SWT dan memohon maaf dari anda semua jika terdapat sebarang kesilapan dan kekurangan.

Wassalam & salam penuh kasih sayang,

Tuesday, April 7, 2009

Kanser Payu Dara



Bersangka-baiklah dengan Pencipta kita. Kita di uji kerana Allah Maha Mengetahui bahawa kita mampu di dugaNya.

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. [ Al-Baqarah: 286]


Assalamualaikum wbt,

Maklumat yang baik untuk dikongsi bersama oleh seorang blogger yang mengalami kanser payu dara ini. Beliau menulis berdasarkan daripada maklumat di dalam buku Kanser Payudara dari Siri Panduan Kesihatan Oak oleh Dr Bruce Miller DOS, CNS.

Link ke blog beliau.

Memahami Kanser Payudara

Definisi: sejenis tumor yang menular dengan ganas dan mengancam nyawa dan berkembang di dalam tisu payudara. Jika tidak dirawat segera is boleh merebak ke nodus limfa yang terletak di bawah ketiak dan seterusnya di bahagian-bahagian lain seperti tulang, paru-paru, otak dll.

Pertumbuhan tumor mungkin membentuk di dalam kalenjar susu, saluran susu, tisu-tisu lemak ataupun tisu-tisu penyambung. Penyebab atau perangsang kanser payudara mempunyai kaitan dengan berapa lama seseorang wanita itu terdedah kepada estrogen. Apabila sel-sel membahagi berlaku sedikit kesilapan besar, berlakulah "mutasi" dan inilah yang boleh menyebabkan kanser. Oleh itu, lebih banyak estrogen, lebih banyak pembahagian sel, maka lebih banyak kemungkinan berlakunya kesilapan dan ini membawa kepada sel-sel menjadi barah.

Satu lagi berkemungkinan menjadi penyebab kanser payudara ialah kerosakan oksidan (radikal bebas) yang menimpai sel-sel duktus. Zarah-zarah oksidan boleh merosakkan DNA dan menyebabkan kesilapan kasar semasa pembahagian sel, dengan itu akan menyebabkan sel mejadi barah. Sel-sel payudara yang membarah mempunyai paras reaksi oksidan yang tinggi.

Gejala-gejala kanser:

1.
Rasa sakit-sakit dalam payudara. Tidak terhad kepada pra-haid sahaja.
2. Gumpalan di bawah ketiak
3. Bengkak yang tidak mahu sembuh
4. Berat badan menurun
5. Ketidakselesaan di sebelah payudara
6. Pembesaran di sebelah payudara sahaja
7. Puting tertarik kedalam
8. Perubahan pada saiz
9. Lelehan daripada puting seperti darah tanpa perlu memicit keluar
10. Perubahan pada rasa dan bentuk fizikal aerola atau puting.

Bukan semua ketulan adalah kanser (80% ketulan adalah tidak berbahaya)

1. Sista (risa lendir): Ia merupakan pundi-pundi yang di penuhi oleh cecair dan dikelilingi oleh tisu-tisu bergentian. Ia jarang sekali bahaya kepada diri.
2. Tisu bergentian: Gumpalan tidak berasa sakit dan tidak mudah digerakkan. Ia berlaku sebaik sahaja sebelum datang haid dan pada wanita yang sedang menjalankan HRT. Para doktor menganggapnya sebagai ketulan biasa dan merujuknya sebagai perubahan fibrosista.
3. Fibroadenomas: Ini merupakan ketulan-ketulan berbentuk bundar dan pejal yang terjadi pada tisu-tisu bergentian dan berkelenjar. Ia cenderung tumbuh terutama sekali semasa wanita itu mengandung dan penyusuan bayi. Walaupun ketulan ini tidak berbahaya, pembuangannya secara pembedahan seringkali di syorkan.
4. Papiloma Intraduktus: Merupakan satu gumpalan kecil seperti ketuatyang tumbuh di dalam saluran payudara. Tidak berbahaya dan seringkali tidak dapat di rasai.
5. Nekrosis Lemak: Apabila sel-sel lemak di musnahkan, ketulan mungkin terbentuk. Bentuknya tidak seragam. Tanda-tanda lain mungkin rasa sakit atau kelembutan dan bengkak-bengkak timbul pada nodus limfa.

6. Mastisis: Suatu pembarahan yang sangat sakit dalam payudara yang disebabkan oleh jangkitan dan seringkali terjadi kepada wanita yang sedang menyusukan bayi mereka. Jika berlaku mastisis, payudara akan mungkin menjadi lebih licin dan membengkak, malah akan mengalami demam-demam.
7. Mastalgia: Sakit payudara. Kejadian mungkin di sebabkan oleh perubahan hormon. Perubahan fibrososta pada kedua-dua payudara merupakan penyebab paling biasa kesakitan payudara khususnya bagi wanita muda.
8. Lelehan puting: sesetengah keadaan payu dara yang tidak berbahaya. Rembesan daripada puting seseorang wanita dewasa bukan sesuatu yang luarbiasa. Namun demikian lebih baik melakukan diagnosis.

Siapkah yang berisiko tinggi?

1. Melahirkan anak di usia 30an atau lebih
2. Mengamalkan pil-pil perancang kehamilan (50% lebih tinggi)
3. Lambat menopause (melebihi 55 tahun) atau kedatangan haid terlalu awal (sebelum usia 12 tahun)
4. Terapi hormon estrogen
5. Tidak pernah menyusu anak
6. Sejarah keluarga - faktor genetik
7. Tidak pernah melahirkan anak
8. Sejarah mempunyai ketulan payudara (eg. sis)
9. Pengambilan alkohol yang banyak
10. Kegemukan

Makanan yang perlu di elakkan dengan tegas:

1. Kulit ayam dan itik yang telah disuntik hormon atau antibiotik.
2. Produk-produk tenusu yang tinggi dengan kandungan lemak. Terutamanya produk tenusu yang di hasilkan oleh lembu-lembu yang di beri suntikan hormon.
3. Makanan yang hangus setelah di panggang atau di bakar atau di goreng dengan suhu yang tinggi. Memasaklah dengan cara selain daripada di panggang atau di goreng eg. merebus dan mengukus.
4. Organ dalaman binatang eg: hati, ginjal, otak dll.
5. Sebarang jenis daging yang di proses eg: sosej, nugget.
6. Pemakanan daging merah eg: lembu, kambing dll
7. Kulat-kulat yang tumbuh kepada kekacang. eg: tempe,
8. Makanan yang di awet dengan garam, cuka dan lain-lain. Eg: cencaluk, belacan dll
9. Kurangkan pengambilan garam, MSG, kicap soya, minyak masak dan marjerin
10. Kurangkan asid lemak trans.
11. Elakkan sebarang makanan manis. Sel-sel kanser gemarkan gula.

Makanan-makanan yang boleh menentang kanser:

1. Sulforaphane terdapat pada brokoli, kobis brussels, kobis bunga, bak choy dll
2. Karotenoid ialah keluarga tumbuhan yang terdiri daripada 600 jenis yang mewujudkan warna-warna merah, oren dan kuning dalam beberapa jenis sayuran dan buah-buahan. Di antara jenis-jenisnya ialah beta karotena, alfa karotena, likopena, lutein dan zeaxanthin. Ini semua adalah kumpulan antioksidan yang tinggi dan berkuasa.
3. Flavonoid ialah pigmen-pigmen tumbuhan yang memberi warna-warna pelangi. Dipercayai boleh melindungi hepar, meningkatkan keimunan dan merencatkan enzim-enzim yang menumbuhkan kanser. Antioksidan yang penting dalm pemakanan ialah daripada kumpulan vitamin A, C, E, Selenium, glutation, peroksidase dan superoksida dismutase (SOD)
4. Bawang Putih (sulfur) & Bawang Merah (allium vegetables) ialah bahan-bahan yang mencetuskan enzim yang bertindak meruhakan karsinogen daripada badan. Juga mengandungi saponin yang mencegah sel-sel kanser daripada membiak dan merangsangkan pengeluaran sel-sel darah putih dan mendorong apoptosis.

5. Kulat pula dari jenis shitake, reishi dan maitake yang mengandungi polisakarida. Kajian menunjukkan ia merangsang fungsi imun dan juga menyekat pertumbuhan tumor.
6. Omega 3 yang banyak terdapat daripada ikan air sejuk perlu dimakan sekurang-kurangnya 3 hidangan seminggu seperti ikan salmon, ikan tuna (ikan segar. bukan yang di dalam tin!), tenggiri, halibut, kod dan sardin (ikan segar. bukan yang di dalam tin!). Kajian mendapati (kajian di Finland) wanita penghidap penyakit kanser payudara mempunyai paras EPA dan DHA (2 jenis asid lemak omega 3) pada paras yang rendah di dalam tisu-tisu payudara mereka.

7. Sebatian yang bioaktif di dalam biji-bijian, kacang dan legum. Ia mengandungi banyak bahan antioksidan dan fitoestrogen yang membantu menentang kanser payudara. Pilihan hendaklah daripada yang segar dan lebih hampir kepada keadaan semulajadinya. Bukan yang telah siproses.

8. Tingkatkan serat dalam makanan kerana gentian daripada buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang dan bijirin asli boleh menghalang metabolisme estrogen dalam badan dan mengurangkan paras estrogen dalam darah.

9. Spirulina pula banyak mengandungi nutrein organik termasuk antioksidan, vitamin, mineral, enzim, GLA, asid-asid amino, fitonutrein dan klorofil. Ia mengandungi 60% protein yang senang di hadamkan tanpa natrium, lemak-lemak tepu dan kolesterol. Para saintis dari Pusat Kanser dan Penyakit Kordiovaskular Osaka telah mengesahkan sesiapa yang mengambil pati spirulina boleh mendatangkan kesan positif terhadap pengeluaran sel-sel imun dalam badan yang sedang menentang sel kanser. Kajian mereka telah di terbitkan dalam Journal International Immunopharmacology Vol.2, No 4.

Perubahan Gaya Hidup

1. Alkohol-alkohol meningkatkan peningkatan hormon estrogen.
2. Senaman menambahkan sistem imun di dalam badan.
3. Menyusu badan kepada bayi anda selama yang boleh (islam menggalakkan sehingga berusia 2 tahun). Sekurang-kurangnya 4 bulan.
4. Kuruskan badan. Dapatkan berat badan ideal. Lemak yang terkumpul di bahagian perut merupakan sumber utama estrogen.
5. Kekalkan kelembutan payudara dengan merenjis air keatasnya setiap pagi (mandi pagi).
6. Kurangkan pendedahan kepada karsinogen seperti sinaran, kosmetik yang sarat dengan kimia, flourida dan lain-lain.
7. Amalkan gaya hidup yang bebas tekanan, sentiasa ceria dan dekatkan diri dengan Tuhan ( Allah SWT). Jangan memikul banyak beban emosi.
8. Jauhi asap rokok dan jangan menghisap rokok.

Pemeringkatan Kanser Payudara

Peringkat 1. Saiz tumor: 2 cm atau kurang dan terhad kepada payudara. Kadar keselamatan selama 5 tahun: 80%

Peringkat 2. Saiz tumor: 2cm-5cmdan mungkin atau tidak mungkin melibatkan nodus limfa. Kadar Keselamatan selama 5 tahun: 50-75%

Peringkat 3. Saiz tumor: Lebih daripada 5 cm. Kadar Keselamatan selama 5 tahun: 30-40%

Peringkat 4. Saiz tumor. Paling serius. Kanser telah menular ke tapak-tapak yang lebih jauh seperti nodus limfa di leher, paru-paru, hepar atau tulang-temulang. Kadar Keselamatan selama 5 tahun: kurang daripada 10%.

Friday, April 3, 2009

Tazkirah Jumaat

Assalamualaikum wbt & semoga Rahmat Allah SWT bersama kita selagi tidak kufur kepadaNya,

Alhamdulillah, Majlis Ilmu yang lepas kita ada menyentuh satu hadith seperti berikut:

Abu Hurairah r.a. reported: Messenger of Allah SWT said, "Follow the Right Path of Faith strictly, and be steadfast; and keep in mind that none of you can achieve salvation through his (good) actions." Someone asked, "Not even you, O Messenger of Allah?" He SAW said, "Not even me, unless Allah SWT grants me His Mercy and Grace".

Hadis ini saya petik dari Kitab Riyad-us-Saliheen, Jilid pertama mukasurat 108 Hadis nombor 86.

Saya terjemahkan hadis ini berdasarkan komentar dalam Kitab tersebut yang lebih kurang maksudnya:

Hadis tersebut membawa maksud bahawasanya walaupun kepentingan Iman yang diperolehi melalui amalan tidak dapat disangkal sama sekali, namun dengan hanya beranggapan bahawa segala amalan baik yang telah kita lakukan di dunia akan membawa kita ke syurga, maka apa yang kita jangkakan itu adalah salah. Kemuncak kepada keimanan adalah selain melakukan amalan yang diperintah dan meninggalkan yang dilarang, setiap hamba Allah seharusnya mengharapkan RahmatNya kerana hanya dengan RahmatNya kita akan menemui kejayaan di dunia dan di akhirat.

Untuk memahami dengan lebih lanjut tentang Rahmat Allah SWT, sila layari link ini. Mudahan ia memberi manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat. Satu amalan baik yang boleh dilakukan setiap kali berdoa selepas solat adalah sebahagian dari ayat 10 Surah Al-Kahfi yang lebih kurang maksudnya:

"Wahai Tuhan kami berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)"


Sehingga berjumpa lagi dan saya mohon maaf jika terdapat sebarang kesilapan yang saya jangkakan tidak disengajakan. Saya mohon ampun dari Allah SWT kerana yang baik itu datang dariNya dan yang buruk itu juga dariNya atas kelemahan saya.

Salam penuh kasih sayang,